Search

"Hujah Atomy Halal"

Saya menonton video...

  • Share this:

"Hujah Atomy Halal"

Saya menonton video program bual santai Atomy dengan Ustaz ABC dan Ustaz XYZ. Mereka berdua mempertahankan Atomy. Ustaz ABC mengatakan Atomy adalah harus dan halal. Di antara hujahnya seperti berikut:

1. Dia bercerita bahawa dia menghantar mesej kepada seorang Sheikh Arab dari negara Maghribi seperti berikut:

"Saya ada soalan. Adakah boleh kita bermuamalah dengan orang bukan Islam dalam satu perniagaan, yang mana perniagaan ini halal, menjual barang-barang asas yang bukan arak, bukan benda-benda yang haram. Tetapi pengasasnya mempunyai niat untuk menyebarkan agama Kristian dan menyumbangkan duitnya untuk agama Kristian. Boleh ke tak boleh kita bermuamalah?"
Sheikh Arab itu memberi jawapan seperti berikut:

"Tidak ada masalah daripada segi syarak kita bermuamalah dengan orang yang bukan Islam selagi mana kita tidak berniaga perkara-perkara yang diharamkan seperti arak ataupun selain daripada itu. Adapun peniaga hendak 'allocate' duitnya untuk gereja. Ia tidak memberi kesan pun. Sebab itu adalah dirinya. Kita tidak terlibat. Gereja adalah rumah ibadat. Orang Islam perlu menghormatinya dan tidak bermusuhan ke atasnya."

2. Saya melihat Ustaz ABC tidak menceritakan tentang Atomy dengan jelas. Dia hanya bertanya bahawa dia mahu berjual beli dengan seorang peniaga dalam bisnes halal. Tetapi peniaga itu seorang Kristian dan memberi sumbangan kepada agama Kristian. Gambaran soalan ini terlalusimple dan mudah.

3. Ustaz ABC tidak menyatakan dengan jelas kepada Sheikh Arab perkara berikut:

# Dia tidak menyatakan bahawa peniaga itu mempunyai perniagaan yang objektif utama syarikatnya ialah Misionari Kristian dengan mengamalkan prinsip "Business As Mission".

# Dia tidak menyatakan bahawa syarikat itu mempunyai Dreamy Foundation untuk penyebaran agama Kristian melalui kelas Bible dan penubuhan sekolah Kristian iaitu Dreamy School di seluruh dunia.

# Dia tidak menyatakan bahawa pengasas syarikat itu sentiasa berusaha bercakap tentang Bible semasa menguruskan syarikat.

# Dia tidak menyebut bahawa dia bukan pembeli biasa tetapi ahli di dalam sistem syarikat tersebut. Dia dan syarikat adalah satu keluarga yang sama.

# Dia tidak menyebut bahawa dia sebagai ahli kepada syarikat itu memperolehi komisen yang lumayan. Jika dia tidak membeli barang dan merekrut ahli maka dia tidak akan mendapat elaun daripada syarikat.

# Dia tidak menyatakan bahawa syarikat itu komited dengan mengadakan pelbagai aktiviti Kristianisasi di seluruh dunia.

# Dia tidak menyatakan bahawa syarikat itu mengadakan aktiviti keagamaan Kristian semasa pertemuan syarikat diadakan.

4. Oleh sebab itu, Sheikh Arab itu memberi fatwa yang sudah boleh diagak iaitu jual beli itu harus dan tiada larangan syarak. Perkara ini sama juga seperti kita menjual barangan kepada seorang Sami Buddha. Ia tiada masalah dari segi syarak walaupun pembeli itu ialah Sami Buddha.

5. Jika Ustaz ABC menyatakan dengan jelas segala perkara tentang Atomy. Saya pasti Sheikh Arab itu akan marah kepadanya dan melarang dia terlibat dengan syarikat yang jelas terlibat dengan Misionari Kristian dan Agenda Kristianisasi.

6. Ustaz ABC menyebut ayat Al-Quran "Lakum dinukum wa liyadin" iaitu (Untuk kamu agama kamu, untuk aku agama aku). Dia menyebut bahawa kita tidak boleh menghalang agama mereka. Islam tidak melarang kita bermuamalah dengan mereka. Mereka nak sebar, tak pe. Itu lantak dia.

Kefahaman begini tentang ayat Al-Quran ini adalah silap. Islam memang menjaga dan menghormati agama lain. Orang bukan Islam bebas untuk beribadat mengikut agama mereka.

Namun ia bukan bermakna membenarkan kita sebagai umat Islam terlibat dalam bisnes yang membantu Agenda Kristianisasi dan membantu penyebaran agama Kristian.

7. Ustaz ABC menyebut, "Berapa ramai orang di Sabah dimurtadkan. Di Sarawak. Jangan kita kata di Sabah Sarawak. Di Malaysia, di Selangor berapa ramai orang dimurtadkan? Ramai. Apa kita buat? Apa kita buat hari ini? Kita tidak buat apa pun. Sepatutnya kita pada hari ini kena bersama-sama. Perbahasan ulama tetapi perbahasan ulama."

Soalan ini sepatutnya ditanya kembali kepada dirinya. Bukankah orang Atomy sendiri mengakui bahawa Atomy terlibat dengan Agenda Kristianisasi? Bukankah salah satu Agenda Kristianisasi ialah memurtadkan masyarakat dengan menjadikan mereka memeluk agama Kristian?

Adakah Ustaz ABC terlupa bahawa apabila menjadi ahli Atomy maka orang itu turut sama mempromosi nama Atomy? Bagaimana dia boleh berasa simpati dengan bilangan orang murtad di negara ini tetapi masih boleh terlibat dalam keluarga Atomy yang terlibat dengan Agenda Kristianisasi?

8. Ustaz ABC menyebut, "Kita tidak tolong mereka membina gereja. Kita tidak tolong mereka untuk mengedarkan Bible. Kita tidak tolong mereka untuk bagi Holy Water. Tetapi kita hanya bermuamalah dengan perniagaan yang halal, produk yang halal, dan mendapat kebaikan dalam masyarakat kita. Maka ia tidak menjadi masalah"

Sebenarnya apabila seseorang itu menjadi ahli Atomi. Dia akan mempromosi Atomy, merekrut ahli, membeli barang Atomy dan sebagainya. Dia membantu Atomy membina jenamanya, membangunkan empayarnya dan menambah hasil jualannya yang digunakan untuk Agenda Kristianisasi.

9. Ustaz ABC kerap mengulang-ulang mengatakan jual beli dengan Atomy adalah halal kerana produk halal, model bisnes mematuhi garis panduan JAKIM dan sebagainya. Maka Atomy adalah harus dan halal.

Kelihatan Ustaz ABC hanya fokus kepada jual beli. Saya juga mempunyai pandangan yang sama iaitu jual beli dibenarkan selagi produk dan model bisnes itu patuh syariah. Ini satu kaedah yang diterima pakai oleh semua pihak.

Namun janganlah menutup mata terhadap Agenda Kristianisasi dan Misionari Kristian yang dilakukan oleh Atomy. Jangan hanya memandang tentang jual beli sahaja. Ustaz ABC perlu melihat secara 'big picture' terhadap kesemuanya. Kemudian barulah akan nampak gambaran yang sebenarnya.

10. Kita sebagai orang Islam perlu memberi sumbangan kepada Islam dengan kemampuan kita. Tetapi jangan kita terjerumus dengan bisnes yang mendukung Agenda Kristianisasi dan Misionari Kristian. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya!

Dr. Abdél Rahmanov
19 Jan 2021

"Buat Duit dengan Atomy"
https://bit.ly/39volYc

"Persoalan Berkaitan Atomy"
https://bit.ly/3mKY7q3

"BMF & Atomy"
https://bit.ly/2XDtdVy

"Atomy Sudah Berubah"
https://bit.ly/2Kfnxyg

"Hujah Padu Atomy"
https://bit.ly/3nKw8q4

"Atomy & Misionari Kristian"
https://bit.ly/3sAOjT1


Tags:

About author
not provided
"And those who strive in Our (cause),- We will certainly guide them to our Paths: For verily Allah i
View all posts